Ulser Kaki Kencing Manis, Cara Pencegahan Elak Kaki Dipotong

ulser kaki diabetik

Ulser Kaki Kencing Manis, Cara Pencegahan Elak Kaki Dipotong

Masih segar dalam ingatan pengalaman melawat di unit Orthopaedic yang mana dalam 1 wad dikumpulkan semua pesakit kencing manis yang mengalami masalah ulser kaki atauoun diabetik foot ulcer. Masa zaman saya tu, memang giliran tugasan kami dalam 2 minggu berada di zon itu. Maksudnya setiap hari, kerja kami ialah mengikis nanah-nanah atau tisu mati pada luka di kaki pesakit. Bebanan memang agak terasa apabila bertugas di zon ‘diabetic foo ulcer’ ini.

Apakah kaki diabetik?

Semua sudah sedia maklum komplikasi-komplikasi kencing manis termasuklah masalah pada kaki yang boleh meningkatkan risiko jangkitan dan risiko kaki dipotong.

Keadaan ini terjadi apabila terjadinya kerosakan saraf (neuropati) dan penyakit vaskular, iaitu bekalan darah secukupnya gagal dihantar ke bahagian kaki.

Faktor risiko ini boleh menyebabkan kudis yang akhirnya akan menjadi ulser, kelemahan otot-otot kecil pada kaki sehingga menyebabkan bentuk kaki menjadi tidak normal dan juga masalah kerosakan tisu atau gangren.

Untuk entry ini, saya akan fokus kepada ulser kaki diabetik sahaja.

ulser kaki diabetik

Ulser kaki diabetik

Ulser kaki paling kerap berlaku pada bahagian bola kaki atau pun bahagian tumit kerana lebih banyak tekanan terjadi di bahagian tersebut bila berjalan.

Apabila kerosakan saraf berlaku akibat gula yang tidak terkawal, seorang pesakit mungkin tidak sedar jika kakinya luka mungkin akibat terpijak sesuatu yang tajam. Apa lagi jika dia tidak membuat pemeriksaan kaki. Pada awalnya mungkin kudis akan terbentuk dan jika tidak dirawat dengan betul, luka akan terbuka dan boleh menyebabkan jangkitan dan luka boleh bernanah.

Kadang-kadang ulser juga boleh terjadi akibat pemakaikan kasut yang tidak sesuai sehingga menyebabkan kaki melecet. Ada juga pesakit yang berasa sakitnya sejuk, lalu cuba memanaskan dengan bertungku atau menggunakan alat pemanas yang lain. Walaupun suhunya mungkin tidak berapa tinggi, namun untuk pesakit kencing manis memang cukup untuk menyebabkan kulit melecur.

Ditambah dengan masalah pengaliran darah yang kurang baik ke tempat luka tersebut, luka menjadi lambat baik dan terus melarat akibat jangkitan kuman.

Gejala ulser kaki diabetik

Perkara pertama yang mungkin disedari ialah keluar cecair dari tempat luka. Cecair tersebut mungkin bercampur dengan nanah dan berbau busuk sekiranya sudah melarat. Kawasan tersebut mungkin membengkak atau kemerahan. Sakit jarang sekali dirasai kerana berlakunya kerosakan saraf.

Rawatan ulser kaki diabetik

Tujuan utama dalalm perawatan ulser kaki diabetik ialah untuk kesembuhan dengan segera untuk mengelakkan jangkitan terus melarat.

Beberapa kaedah penyembuhan yang biasanya dilakukan apabila pesakit dimasukkan ke dalam wad ialah:

  • Rawatan antibiotik dan penjagaan yang rapi untuk mengawal paras gula.
  • Mengelakkan tekanan pada tempat berkenaan. Biasanya pesakit memang baring sahaja di katil. Kadang-kadang kami akan mengisi air ke dalam sarung tangan getah dan meletakkannya pada bahagian ulser untuk mengurangkan tekanan.
  • Mengikis atau membuang tisu-tisu mati. Inilah saat paling mencabar dalam kehidupan doktor pelatih dalam posting Ortopaedic. Bayangkan dia harus duduk beberapa lama untuk mengikis tisu-tisu mati itu sehingga berlaku pendarahan. Apabila ada pendarahan, bererti terdapat oksigen dihantar ke tisu untuk penyembuhan yang lebih cepat. Namun tisu-tisu mati ini juga boleh terjadi dengan cepat sehingga setiap hari perlu mengikis kaki pesakit yang sama.

Cara mencegah ulser kaki

Penjagaan kaki diabetis agak rumit apabila sudah berlaku ulser. Jadi, pencegahan dan pengawasan adalah 2 prinsip asas untuk mengurangkan berlakunya masalah ini.

Yang paling utama ialah pengawalan tahap gula yang optimum. Walaupun risiko komplikasi tetap ada, namun dengan pengawalan gula yang baik, komplilaksi itu dapat ditangguhkan.

8 langkah penjagaan kaki untuk pesakit kencing manis

1.Pemeriksaan kaki

Setiap hari, seorang pesakit harus melakukan pemeriksaan kaki sendiri untuk melihat kesan calar, bisul, rekahan atau bengkak terutamanya selepas keluar rumah.

Pesakit dinasihatkan menggunakan cermin untuk memeriksa bahagian kaki yang sukar dilihat. Ataupun boleh juga memeriksa bersama-sama dengan pasangan.

2.Jaga kebersihan kaki

Sentiasa pastikan kaki kering, terutamanya di celah-celah jari kaki. Bersihkan kaki dengan menggunakan air suam dan lap dengan tuala bersih dan gunakan sabun yang tidak berasid untuk mengelakkan hakisan pada kulit.

Selepas kaki dicuci, bolehlah memakai losyen untuk mengelakkan kulit menjadi kering.

3.Sentiasa memakai sarung kaki atau kasut

Walaupun hanya berada di rumah, seboleh-bolehnya pakai alas kaki atau stokin untuk mengelakkan terpijak sesuati yang tajam mungkin berada di atas lantai.

Selain itu, terdapat kasut khas kepada pesakit kencing manis yang mengurangkan tekanan pada bahagian kaki yang cenderung untuk terjadinya ulser.

4.Cara potong kuku

Minta ahli keluarga yang tiada masalah penglihatan untuk memotong kuku. Potongan kuku disarankan secara lurus dihujung dan bukannya membulat.

5. Berhati-hati apabila bermain dengan haiwan peliharaan

Haiwan peliharaan, walaupun jinak tetapi kadangkala boleh mencakar dan menyebabkan luka.

6.Pastikan peredaran darah lancar

Ketika duduk, peredaran darah mungkin terganggu. Jadi, cara untuk melancarkan peredaran darah ialah dengan menggerak-gerakkna hujung jari dan pergelangan kaki ketika duduk. Lakukan dalam tempoh 5 minit dalam 2-3 sesi sehari.

7.Lindungi kaki daripada kesejukan atau kepanasan

Jika mandi air panas, uji dulu tahap kepanasan air sebelum memasukkan kaki ke dalam air tersebut. Jangan gunakan apa-apa alat yang boleh memberikan kepanasan kepada kaki tanpa disedari seperti selimut elektirk.

8.Berjumpa doktor sekiranya terdapat luka atau kudis

Terus berjumpa doktor untuk rawatan sekiranya terdapat luka atau kudis pada kaki, untuk mengelakkan terjadinya jangkitan.

Komplikasi penyakit kencing manis memberi impak yang besar kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Lebih banyak kos dan masa diperlukan untuk rawatan dan mungkin perlu berulang-alik ke klinik atau tinggal di hospital.

Jadi, pencegahan lebih baik daripada mengubati. Amalkan gaya hidup yang sihat, ikut nasihat doktor sepanjang pemantauan penyakit untuk mencegah berlakunya komplikasi penyakit kronik ini.

Sebarang pertanyaan atau nak sembang saja-saja, boleh hubungi saya, Fyda: 012 621 1883

 

Sumber :

APMA

Utusan

Davidson’s Principle & Practice of Medicine

 

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *