Tips Jaga Kesihatan Jantung Elakkan Kematian Tiba-Tiba

Tips Jaga Kesihatan Jantung Elakkan Kematian Tiba-Tiba

Baru-baru ini saya berpeluang mengikuti 1 seminar mengenai penyakit jantung. Pelbagai input menarik dan terkini yang saya dapat daripada seminar tersebut dan juga kebenaran yang menakutkan.

Menurut penceramah yang merupakan pakar kardiologi, beliau berasa kasihan dan bimbang melihat pesakit jantung di negera ini kerana terpaksa berdepan dengan cabaran hebat untuk menjaga kesihatan jantungnya kerana berhadapan dengan dugaan yang paling besar iaitu pemakanan, berbanding pesakit jantung di luar negara.

Negara kita yang bukan sahaja terkenal dengan pelbagai etnik dan kaum, malah daripada setiap etnik dan kaum itu kaya dengan pelbagai jenis makanan yang diakui bukan mudah untuk menahan diri daripada tergoda dengan makanan-makanan tersebut.

Pakar itu turut melahirkan kebimbangan apabila kebanyakan pesakit di negara ini amat sukar untuk patuh kepada peraturan makan ubat, suka mengambil ubat separuh jalan dan berhenti tanpa merujuk doktor terlebih dahulu. Faktor ini mendedahkan mereka kepada serangan jantung yang berulang.

serangan jantung boleh bawa maut

Kalau macam inilah cara makan, sendiri mau ingat la

Pemakanan menjadi punca utama

Jika kita lihat corak pemakanan penduduk Malaysia, kita dapati kebanyakan makanan adalah berasaskan lemak dan minyak dan inilah yang kita makan sejak dari kecil. Pengambilan makanan inilah yang menyumbang kepada penyakit jantung.

Lemak-lemak ini akan membentuk plak dan berkumpul di dinding saluran darah secara perlahan-lahan dan mengambil masa yang lama, mungkin berpuluh-puluh tahun sebelum mencetuskan masalah. Namun, ada juga yang mengalami masalah jantung pada usia yang lebih muda, terutamanya jika ada sejarah keluarga yang diserang penyakit kronik ini.

Gaya hidup yang pasif dan kurang masa untuk bersenam turut mempercepat proses pengumpulan plak-plak lemak ini. Justeru, tidak hairan jika usia pesakit jantung semakin berkurang berbanding 20 tahun lalu, malah ada yang sudah menghidapnya dalam usia 20-an.

Jantung organ penting untuk manusia

Jantung manusia, walaupun kecil, hanya sebesar penumbuk namun memainkan peranan yang sangat besar. Jantung bertugas untuk mengepam darah ke seluruh anggota badan.

Untuk melakukan kerja yang kuat seperti itu, jantung memerlukan oksigen yang banyak, sebab itu salur darah yang menuju ke jantung adalah sangat banyak dan pada salur darah inilah pengumpulan plak berlaku sehingga menghalang laluan darah yang membawa oksigen ke jantung.

Dalam keadaan ini, selagi darah dapat disalurkan dengan lancar, tiada masalah yang dihadapi. Apabila salur darah tersumbat sehingga 70 peratus, dan bahagian jantung yang tidak mendapat bekalan oksigen yang cukup akan mengalami kerosakan, tanda seperti sesak nafas atau sakit dada akan mula dirasai. Lama kelamaan, jantung akan menjadi lemah dan pesakit mula mendapat serangan jantung.

Kaedah rawatan untuk penyakit jantung

Sakit jantung ialah penyakit yang berkaitan dengan gaya hidup dan sudah tentu penyakit yang boleh dielakkan dengan perubahan gaya hidup.

Ambil tahu mengenai penyakit dan faktor risikonya. Jika anda rasa berisiko tinggi, iaitu mempunyai sejarah keluarga yang diserang sakit jantung, anda dinasihatkan lebih berhati-hati dalam memilih makanan dan menjalani pemeriksaan kesihatan dengan lebih awal, mungkin dalam usia akhir 30-an atau 40-an. Jangan bila sudah terlewat barulah berjumpa doktor.

Faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi dan orang yang merokok akan dirawat sewajarnya untuk mengurangkan risiko serangan jantung.

Sekiranya seseorang terkena serangan jantung, rawatan dengan ubat akan dimulakan terlebih dahulu untuk mencairkan plak yang menghalang pengaliran darah ke jantung.

Namun sekiranya plak itu terlalu tebal dan seseorang kerap mendapat serangan jantung, mungkin kaedah pembedahan menjadi pilihan. Angioplasti belon adalah kaedah untuk memecahkan plak dan mengembangkan salur darah. Namun kaedah ini kurang menjadi pilihan kerana bersifat sementara dan salur darah boleh menjadi sempit semula.

Kaedah kedua ialah penggunaan stent, iaitu logam halus seperti spring dengan ukuran sebesar saluran darah dimasukkan ke bahagian yang tersumbat. Stent berfungsi seperti terowong yang mengelakkan salur darah sempit semula.

Namun, pesakit yang menggunakan stent perlu mengambil ubat pencair darah mungkin untuk sepanjang hayat kerana tanpa ubat ini, darah beku mungkin boleh terbentuk secara tiba-tiba dan menyebabkan serangan jantung.

Tak dinafikan memang banyak ubat yang perlu diambil oleh pesakit jantung kerana biasanya penyakit jantung tidak akan wujud sendirian tetapi bersama-sama faktor risikonya dan ini menyukarkan kepatuhan pesakit terhadap ubat. Ada yang berhenti mengambil ubat tanpa merujuk doktor terlebih dahulu kerana berasa tahap kesihatan mereka semakin baik.

Pilihan yang ketiga ialah pembedahan pintasan jantung, yang mana satu jalan lain dicipta untuk menggantikan jalan yang telah sempit. Namun, jika gaya hidup tidak diubah, salur darah boleh menjadi sempit semula.

Cara mengatasi penyakit jantung

1. Mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang.

Seboleh-bolehnya masak sendiri di rumah kerana kita boleh pantau kuantiti minyak yang digunakan dan bahan-bahan yang digunakan untuk memasak. Sekiranya terpaksa makan di luar, pilihlah makanan yang kurang lemak dan kurang garam kerana ini boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.

2. Amalkan gaya hidup sihat.

Luangkan sedikit masa untuk bersenam. Tak perlu lakukan senaman berat, cukuplah berjalan dengan cepat sekurang-kurangnya 30 minit sebanyak 3-4 kali seminggu. Tak perlukan apa-apa alatan pun. Sambil shopping pun boleh berjalan.

3. Belajar mengendalikan tekanan

Tekanan emosi dan fizikal juga menyumbang kepada penyakit jantung. Belajarlah mengawal tekanan dan kemarahan. Mungkin boleh ambil masa untuk untuk meditasi atau bersendirian sambil merenung kejadian alam ini.

4. Berhenti merokok atau jangan mulakan

Siapa tidak tahu bahaya merokok untuk kesihatan? Saya rasa para perokok memang sudah sedia maklum. Jadi, berhentilah bahayakan diri anda dan orang sekeliling. Merokok juga sebenarnya adalah penyumbang terbesar kepada penyakit jantung.

Dapatkan di sini cara berhenti merokok paling senang dan terbukti berkesan.

sayangi jantung

Jantung kita hanya ada 1 dan merupakan organ yang sangat penting untuk kehidupan seorang manusia. Jangan biarkan jantung merajuk dan tak mahu bekerja lagi.

Hubungi saya kalau nak tanya pasal penyakit kronik atau saja nak sembang-sembang. Fyda: 012 621 1883

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *