Tanda Putus Haid Dikalangan Wanita Dan Bagaimana Untuk Mengurangkannya

simptom menopaus

Tanda Putus Haid Dikalangan Wanita Dan Bagaimana Untuk Mengurangkannya

Wanita adalah makhluk yang sangat istimewa yang mengalami beberapa perubahan dan pengalaman yang berharga dalam hidupnya sama ada dari segi fizikal ataupun fisiologi. Antaranya perubahan apabila memasuki alam remaja, ketika mengandung, selepas bersalin dan apabila mencapai usia lanjut.

Ketika usia wanita mencapai 40-50an satu perubahan hormon yang berlaku apabila wanita menghadapi menopaus yang mempunyai kesan jangka panjang dan pendek dan boleh memberi kesan yang tidak menyenangkan kepada kehidupan seseorang sama ada kepada diri sendiri ataupun orang sekeliling.

Namun begitu, gejala-gejala yang dihadapi ini tidak semestinya menandakan wanita mengalami menopaus. Salah satu cara untuk memastikan sama ada wanita benar-benar mengalami menopaus adalah dengan menyukat Hormon Perangsang Folikel (FSH) yang meningkat jika berlaku menopaus. Ini kerana ovari sudah tiada fungsinya dan tidak lagi menghasilkan hormon estrogen yang menyekat penghasilan FSH daripada kelenjar pituitari.

 

simptom menopaus

Simptom menjelang menopaus.

1. Kitaran haid

Apabila seseorang wanita menghampiri menopaus, kitaran haidnya menjadi tidak stabil. Sama ada dia akan mengalami pendarahan yang banyak, ataupun menjadi jarang-jarang. Perubahan haid ini sebenarnya kerap mengganggu ramai wanita kerana bagi sesetengah wanita jika haidnya tidak normal, maka dia bukanlah wanita yang normal.

2. Masalah sistem urinari

Ramai wanita yang mengadu mengalami masalah kencing seperti tidak boleh mengawal kencing, kerap kencing, tidak lawas ataupun sering berasa sakit semasa kencing. Ini kerana tisu vagina dan saluran kencing menjadi kurang elastik dan gagal untuk menampung jumlah air kencing yang banyak. Kadang-kadang wanita menopaus akan berasa sangat ingin kencing. Keadaan ini juga mendedahkan mereka kepada jangkitan pada pundi kencing kerana paras estrogen yang rendah dan perubahan pada sistem urinari meningkatkan risiko jangkitan kuman.

3. Kepanasan dan berpeluh pada waktu malam

Hampir setengah daripada 3/4 wanita menopaus mengalami gejala hangat memerah. Sebanyak 85% daripanya mengalami gejala ini lebih daripada setahun. 25-50% mengalaminya selama tahun  dan paling banyak dialami oleh wanita berusia 48 hingga 55 tahun. Kekerapan dan keterukannya terhadap gejala ini akan berkurangan dengan meningkatkan usia seseorang. Gejala hangat ini sering membuatkan wanita terbangun daripada tidur dan kerap mengalami masalah sukar tidur ataupun insomnia. Kemungkinan juga wanita ini mengalami hangat memerah iaitu perasaan hangat yang muncul secara tiba-tiba disertai dengan peluh yang banyak. Biasanya akan berlaku pada waktu malam menjelang pagi. Lama-kelamaan akan dirasa pada waktu siang juga.

4. Masalah seksual dan organ seksual

Akibat kekurangan hormon estrogen, lapisan tisu vagina akan menjadi lebih nipis, kering dan kurang kenyal. Kadang-kadang wanita ini juga mungkin mengalami kegatalan pada faraj dan kesakitan ketika melakukan hubungan seks. Ini boleh mendedahkan wanita itu kepada jangkitan kuman pada faraj. Selain itu, nafsu seks, keseronokan, ketahanan badan dan stamina untuk melakukannya juga semakin berkurang.

5. Bulu tumbuh di bahagian muka

Walaupun sebelum ini mungkin tidak kelihatan bulu pada muka, namun akibat peningkatan hormon androgen yang lebih tinggi berbanding estrogen, pertambahan bulu yang luar biasa boleh dilihat di muka terutama pada bahagian atas mulut. Selain itu, kulit kepala akan menjadi kering, berkuping dan gatal. Rambut juga akan semakin menipis dan berminyak.

6. Perubahan berat badan

Wanita ini juga akan mendapati berat badan bertambah dengan pertambahan lemak di bahagian pinggul, paha, pinggang dan bahu. Perut akan kelihatan besar akibat penyimpanan air berlebihan terutamanya pada hari yang sepatutnya haid.

7. Perubahan emosi

Wanita ini dikatakan lebih sensitif, cepat kecil hati dan mudah marah walaupun hanya perkara yang kecil, kemurungan akibat rasa kecewa dan putus asa, sukar untuk fokus dan mudah berasa letih serta tidak bertenaga. Ini kerana hormon yang tidak stabil mengganggu fungsi otak dan menyebabkan seseorang wanita berasa sedih.

Risiko penyakit selepas menopaus

Penyakit jantung.

Semasa dalam usia reproduktif, wanita dilindungi oleh kebanyakan penyakit termasuk penyakit jantung oleh hormon estrogen. Namun gaya hidup seseorang wanita tetap memainkan peranan yang besar untuk mencegah daripada penyakit jantung.

Osteoporosis

Sebenarnya osteoporosis bukan semata-mata masalah wanita menopaus kerana pada usia 30-an kemampatan tulang akan mula berkurang dan sebenarnya usia 30-an adalah waktu terbaik untuk menyediakan simpanan kalsium dalam tulang. Sepatutnya wanita mula mengambil suplemen kalsium atau minum susu seawal 30 tahun untuk mencegah risiko osteoporosis. Namun apabila hormon estrogen berkurang semasa menopaus, lebih banyak kalsium akan keluar dari tulang, sebab itu warga emas sering dikaitkan dengan tulang rapuh.

Zat besi

Dalam tempoh pra-menopaus, wanita mungkin mengalami pendarahan yang banyak dan ini boleh menyebabkan kekurangan zat besi.

Langkah menghadapi fasa menopaus

Amalan gaya hidup sihat bukan sahaja perlu bermula ketika usia sudah senja, sepatutnya bermula daripada usia muda. Amalan gaya hidup sihat dan pemakanan yang seimbang boleh membantu mengurangkan gejala-gejala menopaus yang tidak disenangi.

1. Makanan berkhasiat dan seimbang.

Perut kita memang memerlukan makanan untuk kenyang. Namun, sel memerlukan nutrisi iaitu vitamin dan mineral untuk berfungsi dengan baik. Gaya hidup yang lebih sibuk dengan pemakanan yang tidak seimbang menjadikan kebanyakan fungsi sel dan organ dalam badan tidak efektif.

2. Elakkan merokok dan menjauhi orang yang merokok

Rokok mempunyai banyak bahan kimia yang berbahaya dan semua orang tahu. Orang yang merokok sebenarnya boleh meningkatkan risiko penyakit dan tekanan disamping turut membahayakan nyawa orang sekeliling.

3. Selalu bersenam

Bersenam yang ringan atau sederhana adalah perlu untuk setiap orang untuk menjaga kesihatan.

4. Berfikir secara positif

Kita adalah apa yang kita fikirkan. Berfikiran positif memberikan kita tenaga yang positif dan kehidupan yang lebih baik.

5.Melakukan pemeriksaan Pap Smear mengikut jadual

Pemeriksaan Pap Smear adalah satu-satunya cara untuk mengesan barah pangkal rahim dikalangan wanita sebelum gejalanya muncul. Rawatan pada peringkat awal adalah lebih baik daripada merawat ketika peringkat yang teruk atau merawat komplikasi kanser.

6. Melakukan pemeriksaan payudara sendiri.

Pemeriksaan payudara adalah penting untuk semua wanita sejak daripada usia reproduktif untuk mengesan masalah pada payudara dan yang paling ditakuti tentulah barah payudara.

 

Sumber : Familydoctor 

Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *