Rawatan Alternatif Penyakit Kencing Manis Di Sekeliling Kita

rawatan herba kencing manis

Rawatan Alternatif Penyakit Kencing Manis Di Sekeliling Kita

Jika kita tengok trend perubatan sekarang, ramai yang ingin kembali kepada cara tradisional ataupun dikenali sebagai pengubatan Alternatif dan Komplementari (CAM). Sememangnya CAM adalah salah 1 amalam penjagaan kesihatan yang telah digunakan dengan meluas di seluruh dunia dan pengaruhnya semakin kuat di Malaysia. Harus diingat, pendekatan CAM adalah berbeza dengan amalan moden dan lebih kepada amalan pencegahan penyakit atau meningkatkan kesihatan diri secara keseluruhan.

Secara kasarnya, perubatan alternatif ialah terapi yang diambil untuk menggantikan perubatan moden, sementara perubatan komplementari pula bermaksud kaedah perubatan yang diambil bersama-sama dengan perubatan moden.

Pada masa kini, kaedah ini semakin menarik perhatian pengamal perubatan, terutamanya sektor swasta dan juga pesakit-pesakit yang menderita penyakit kronik, termasuklah diabetis mellitus ataupun kencing manis.

Sebenarnya, Malaysia sangat kaya dengan tumbuh-tumbuhan atau herba yang boleh digunakan untuk merawat atau mengawal pelbagai penyakit. Namun, masalah dengan penggunaan herba ini adalah kerana kita tidak tahu apa kandungan bahan yang membantu mengawal penyakit dan berapa dos yang digunakan. Oleh sebab itu, doktor-doktor bidang perubatan moden sangat mengambil berat pesakit-pesakit yang ingin menggunakan perubatan alternatif tanpa pemantauan yang sepatutnya.

rawatan herba kencing manis

Alam semulajadi bukan sahaja menenangkan, malah memberi banyak manfaat untuk kesihatan

Beberapa contoh herba yang digunakan untuk rawatan kencing manis

1. Misai kucing

misai kucing rawat kencing manis

pokok misai kucing

Merupakan sejenis pokok berbunga dan seringkali ditanamn sebagai perhiasan di halaman rumah atau taman-taman rekreasi kerana kecantikannya.

Misai kucing juga popular dikalangan masyarakat Melayu kerana dipercayai dapat merawat pelbagai penyakit termasuk penyakit kencing manis, batu karang, gout dan tekanan darah tinggi. Kajian telah dijalankan ke atas tikus makmal dengan menggunakan keseluruhan ekstrak misai kucing dan mendapati kepekatan glukos dalam darah dapat dikurangkan dengan tindakannya mengalakkan perembesan insulin oleh pankreas. Apabila paras insulin meningkat, secara tak langsung, paras gula akan menurun.

Selain itu, kajian makmal turun menunjukkan herba ini boleh mengurangkan paras kolesterol dalam pesakit kencing manis, sekaligus mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular (jantung).

Misai kucing diambil dengan merebus daunnya dan diminum dalam bentuk air rebusan. Sementara bahagian lain herba ini dikatakan boleh merawat penyakit lain.

Setakat ini kajian-kajian yang dijalankan mendapati bahawa misai kucing tidak memberi kesan sampingan kepada hati dan buah pinggang. Namun, kajian selanjutnya perlu dijalankan untuk memastikan keselamatan jika diambil dalam jangka masa panjang. Lagipun, jika kita lihat banyak produk yang diproses menggunakan ekstrak misai kucing juga tidak dapat dipastikan keselamatan untuk jangka masa panjang kerana bahan-bahan yang dicampur semasa diproses tidak dapat dipastikan.

2. Daun pegaga

pegaga rawat kencing manis

Pokok pegaga

Daun pegaga telah digunakan dalam perubatan tradisional India, iaitu Ayurveda sejak beratus tahun lalu. Pada mulanya, ia digunakan untuk penyembuhan luka kerana keupayaan penyembuhannya yang cepat dan kebolehannya merawat penyakit kulit seperti psoriasis.

Kajian makmal menunjukkan ekstrak bahan ethanol dan methanol daripada daun pegaga mempunyai khasiat untuk meningkatkan perembesan insulin dan secara tak langsung membantu menurunkan paras gula dalam darah. Kajian menunjukkan fungsinya sama dengan tindakan ubat moden dan mampu mengekalkan paras gula yang baik dalam darah. Selain itu, ia turut membantu mengawal paras kolesterol, asid urik dan urea dalam darah.

Ia boleh dimakan mentah sebagai ulam atau dijadikan jus. Terbaru, pegaga juga boleh didapati dalam bentuk kapsul.

Namun, kajian menunjukkan pegaga boleh memberi kesan sampingan kepada hati jika diambil secara berterusan dalam tempoh melebihi 6 bulan. Jadi, dapatkan nasihat dan pemantauan daripada doktor untuk mengelakkan sebarang kesan yang memudaratkan.

3. Hempedu Bumi (Andrographis peniculata)

hempedu bumi untuk kencing manis

Pokok hempedu bumi

Hempedu bumi merupakan sejenis tumbuhan yang berasal dari Asia Tenggara, China dan India. Ia digunakan sejak berabad lalu di China, India dan Jawa sebagai kaedah untuk mengurangkan kesakitan dan merawat luka termasuk gigitan ular.

Dalam rawatan kencing manis, dikatakan ekstrak methanol daripada tumbuhan ini mampu meningkatkan perembesan insulin dan mengurangkan penyerapan gula ke dalam darah, maka ia membantu mengawal paras gula terutama selepas makan.
Selepas pengambilan selama 30 hari, kajian ke atas tikus mendapati ia membantu meningkatkan kepekaan insulin dan mempercepat pemindahan insulin dari darah ke dalam sel untuk penjanaan tenaga.

Hempedu bumi juga boleh dijadikan ulam ataupun boleh diminum air rebusan daunnya, tapi rasanya yang amat pahit. Jadi, ramai yang lebih suka mengambilnya dalam bentuk kapsul yang telah diproses.

Terdapat beberapa kesan sampingan jangka pendek yang dikaitkan dengan hempedu bumi termasuk pening, letih dan cirit-birit. Ia juga berpotensi untuk bertindak-balas dengan ubat moden jika diambil bersama. Sekiranya anda berminat dengan rawatan pokok hempedu bumi, dapatkan dulu nasihat doktor atau pegawai farmasi.

4. Peria katak

peria katak untuk kencing manis

Buah peria katak

Peria katak banyak ditanam di Asia Selatan, Asia Tenggara, China dan Caribbean. Buahnya merupakan sayur yang sangat pahit malah ada yang mengatakan paling pahit di dunia kerana kandungan kuinin yang tinggi. Namun, yang pahit itu kan ubat.

Dalam perubatan Ayurveda, India peria katak dianggap sebagai ‘insulin tumbuhan’, oleh sebab itu ia digunakan untuk merawat penyakit kencing manis. Di Filipina, teh peria katak telah digunakan oleh penghidap kencing manis yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan moden.

Kajian yang dijalankan ke atas tikus makmal dengan ekstrak peria katak menunjukkan ia mampu menyerupai tindakan insulin kerana buah dan bijinya yang mengandungi protein Polypeptide-K yang efektif terhadap kencing manis. Selain itu, ia juga membantu merencatkan penyerapan gula di usus dan menggalkkan penggunaan gula oleh sel-sel badan. Ia turut membantu mengawal juga dengan mengurangkan penghasilan gula oleh hati.

Peria katak boleh dimakan sebagai ulam atau dimasak sebagai sayur-sayuran. Namun, kini peria katak sudah disediakan dalam bentuk kapsul. Jika tak mahu rasa pahitnya peria katak, bolehlah diambil kapsulnya.

Sekiranya anda memang menggunakan ubat moden dari hospital, berhati-hati jika ingin makan peria katak kerana risiko untuk terjadinya hypoglisemia (kurang gula dalam darah) adalah tinggi.

5. Mas cotek (ficus deltoidea)

mas cotek rawat kencing manis

Pokok mas cotek

Mas cotek adalah sejenis tumbuhan yang tumbuh meliar dan menumpang di atas pokok lain dan biasanya hidup di kawasan perbatuan dan pergunungan. Ia telah digunakan secara turun-temurun untuk masalah kolesterol, saraf, masalah wanita dan ia juga dipercayai dapat mencantikkan kulit. Daunnya didapati kaya dengan antioksida dan vitamin C.

Melalui kajian makmal yang dijalankan ke atas tikus menunjukkan bahawa mas cotek mampu meningkatkan rembesan insulin seterusnya membantu menurunkan paras gula dan menggalakkan pengambilan gula oleh sel sebagai sumber tenaga.

Dalam kajian lain, mas cotek dikatakan bertindak merencatkan penyerapan gula di usus dan mengurangkan penghasilan gula oleh hati.

Daun mas cotek boleh direbus dan diminum airnya dan ada yang mengeringkannya daunnya sebelum direbus. Namun kini, ia telah disediakan dalam bentuk kapsul untuk memudahkan pengambilannya.

6. Buah mengkudu (Morinda citrifolia)

buah mengkudu rawat kencing manis

Buah mengkudu

Buah mengkudu masak yang mempunyai bau yang agak busuk dan kuat telah digunakan sejak turun-temurun dalam perubatan tradisional terutama dikalangan masyarakat Melayu. Minat masyarakat umum terhadap tanaman ajaib ini bermula pada penghujung 1998 selepas penemuan saintifik tentang fungsi bahan aktif yang terkandung dalam buah ini oleh seorang ahli biokimia dari Universiti Hawaii.

Buah mengkudu dikatakan tinggi dengan zat pemakanan seperti vitamin C dan B3, zat besi dan potassium (kalium). Ia boleh dimakan begitu sahaja atau dijadikan jus.

Jus mengkudu mengandungi potassium yang tinggi, jadi ia boleh bertindak balas dengan ubatan moden dan boleh menyebabkan potassium meningkat dalam darah.

Sementara itu kesan sampingan jangka pendek yang dikaitkan dengan jus mengkudu ialah angin, kembung perut dan cirit-birit. Maka, jika anda mengalami simptom-simptom berikut, hentikan pengambilannya serta-merta dan berjumpa doktor dengan segera.

7. Gurmar (Gymnema sylvestre)

gurmar rawat kencing manis

Pokok gurmar

Gurmar adalah sejenis tumbuhan yang berasal dari hutan dan padang rumput di bahagian Selatan India. Perkataan ‘gurmar’ dalam bahasa India bermaksud ‘pemusnah gula’ kerana tindakannya yang menghalang rasa manis dalam makanan dan mengurangkan selera makan. Kesan ini boleh bertahan 1-2 jam selepas pengambilan.

Daunnya sudah digunakan berabad lama untuk mengawal kencing manis dan kini ekstrak daunnya telah dikaji dan menunjukkan kesan positif terhadap penurunan paras gula dalam darah. Ia bertindak sengan menggalakkan perembesan insulin dari pankreas dan menghalang penyerapan gula dalam usus.

8. Halba (Trigonella foenum graecum)

halba rawat kencing manis

Halba

Halba adalah antara tumbuhan herba yang digunakan secara meluas dalam bidang perubatan hinggalah ke bidang masakan. India merupakan pengeluar halba terbesar disamping Mesir, Turki, Sepanyol dan China.

Keberkesanan halba dalam mengawal penyakit kencing manis telah dikaji terhadap tikus makmal dan juga
manusia. Dalam salah satu kajian, didapati bahawa seramai 60 orang pesakit kencing manis yang mengambil halba sebanyak 25g setiap hari menunjukkan perununan gula yang signifikan dan ia ternyata mampu menghalang kenaikan paras gula selepas makan.

Seperti herba-herba lain, halba juga menggalakan perembesan insulin oleh pankreas dan meningkatkan sensitiviti sel badan terhadap insulin.

Walaupun terapi alternatif dan komplementari menunjukkan kesan yang baik terhadap pengawalan paras gula untuk pesakit kencing manis, namun tindakan, keberkesanan dan keselamaatannya masih menjadi tanda tanya dan masih menjadi isu hangat yang dibincnagkan. Apatah lagi apabila herba-herba ini dikomersialkan, semasa diproses mungkin ada bahan-bahan berbahaya yang turut dicampurkan dan kesan sampingannya juga tidak didokumen dengan baik.

Yang penting, jika ingin menggunakan apa-apa rawatan komplementari atau alternatif, bincang dahulu dengan pegawai farmasi atau doktor yang merawat anda kerana pengambilan bersama perubatan moden mungkin boleh memberi risiko tindak balas yang tidak diingini. Dan pastikan juga anda mendapat pemantauan yang sewajarnya daripada doktor.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *