Panduan Puasa Kencing Manis Agar Dapat Berpuasa Dengan Selamat

tunggu waktu berbuka

Panduan Puasa Kencing Manis Agar Dapat Berpuasa Dengan Selamat

Saya kagum dengan semangat ramai pesakit-pesakit saya terutamanya pesakit kronik seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi yang ingin berpuasa. Sebulan sebelum puasa, mereka dah sibuk mendapatkan maklumat daripada doktor bagaimana untuk menyesuaikan ubat semasa berpuasa, terutamanya pesakit kencing manis yang menggunakan insulin.

Ibadah puasa adalah suatu ibadah yang agak mencabar, apatah lagi hanya muncul setahun sekali dan lebih mencabar bagi orang yang jarang berpuasa sunat. Secara khusus dari pandangan agama dan perubatan, orang yang sakit dikecualikan dari berpuasa, namun banyak dari kalangan mereka yang ingin mengamati bulan Ramadan ini dan mencuba sedaya-upaya untuk turut berpuasa.

Pesakit-pesakit kronik seperti kencing manis, jatuh dalam kategori ini dan ini boleh meletakkan mereka pada risiko tinggi serta boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi. Pesakit diabetis Jenis 1, Jenis 2 dan wanita yang hamil dengan diabetis (gestational) harus mendapatkan nasihat doktor sekiranya ingin berpuasa.

Sekumpulan ahli endokrinologis dan diabetologis dari negara muslim dan bukan muslim telah banyak berbincang sama ada pesakit-pesakit kencing manis ini sesuai atau tidak untuk berpuasa. Kajian mendapati bahawa berpuasa cara umat Islam amat umum dikalangan pesakit kencing manis. Walaupun puasa adalah cabaran besar, namun pengurusannya bergantung kepada individu.

Secara umumnya, mereka boleh berpuasa dengan syarat mematuhi jadual pengambilan ubat, mengamalkan pemakanan seimbang dan yang paling penting sekali, mendengar nasihat daripada doktor.

kekal cergas sepanjang bulan puasa

Aktiviti budak-budak. Jangan pula orang dewasa ikut.

Siapa yang tidak digalakkan berpuasa

  • Pesakit yang kandungan gulanya tidak terkawal
  • Pesakit yang tidak sanggup atau tidak mahu mematuhi nasihat pengawalan makanan dan pengambilan ubat.
  • Pesakit yang mengalami komplikasi yang serius seperti kerosakan buah pinggang, sakit jantung dan tekanan darah yang tidak terkawal.
  • Pesakit yang mempunyai sejarah atau sering mengalami hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah) atau hiperglisemia (kandungan gula terlebih dalam darah)
  • Pesakit yang sedang mengalami jangkitan kuman
  • Pesakit yang mengandung dan memerlukan insulin
  • Pesakit kencing manis kanak-kanak yang berusia 12 tahun ke bawah.

Semasa berpuasa, pesakit perlu memberi perhatian kepada keadaan perut kosong yang melebihi 14 jam. Mereka berisiko untuk mengalami komplikasi buruk seperti masalah dehidrasi (kekurangan air), hipoglisemia (kekurangan gula dalam darah) jika tidak makan sahur atau melakukan aktiviti berat semasa berpuasa. Hiperglisemia juga boleh berlaku sekiranya paras gula menjadi tidak terkawal.

Penyebab masalah di atas adalah apabila pesakit keliru mengenai penyesuaian ubat semasa berpuasa, terlalu mengawal pemakanan atau mengikut makan secara berlebihan selepas berbuka puasa. Sebab itu, mendapatkan nasihat doktor dan pegawai dietetik adalah penting sebelum memulakan ibadah ini.

Tanda-tanda hipoglisemia

  • Teramat lapar dan dahaga
  • Letih dan lemah
  • Berpeluh
  • Menggeletar
  • Rasa gelisah dan bingung
  • Denyutan nadi laju
  • Tidak sedarkan diri / koma boleh terjadi pada peringkat serius.

Tanda-tanda hiperglisemia

  • Sangat letih
  • Sangat dahaga
  • Kerap buang air kecil
  • Tidak sedarkan diri pada peringkat serius

Tanda-tanda kekurangan air (dehidrasi)

  • Teramat dahaga
  • Kekeringan lidah dan kawasan mulut dan kulit.
  • Fikiran terganggu.

Sekiranya mengalami tanda-tanda diatas, terutamanya hipoglisemia dan dehidrasi, sebaiknya segera berbuka dengan makanan-makanan manis sehingga hilang tanda-tanda tersebut dan segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

Diet

Pesakit-pesakit ini boleh mengamalkan diet yang ringkas tetapi harus mengikut panduan pemakanan yang menitik beratkan pelbagai jenis makanan seimbang. Sebaiknya pilih makanan yang mempunyai glisemik indeks yang rendah kerana kadar gulanya dibebaskan secara berperingkat. Sebaiknya, aturkan temujanji dengan pakar pemakanan untuk merancang pemakanan pada bulan Ramadhan.

Pemakanan juga harus dibahagikan dan diatur mengikut keperluan individu bersama ubat-ubatan yang diperlukan. Kuantiti makanan juga harus dipertimbangkan sewaktu bersahur dan berbuka dan banyakkan minum air pada waktu malam untuk mengelakkan dehidrasi.

Ketika berbuka, sebaiknya mulakan dengan 1-2 biji tamar untuk memberikan tenaga dengan cepat. Kemungkinan besar pesakit-pesakit ini perlu makan nasi terlebih dahulu sebelum solat maghrib. Namun, pastikan kuantitinya bersesuaian dengan keperluan.

Selepas solat terawikh, pesakit boleh menambahkan tenaga dengan makanan yang agak ringan sahaja. Waktu sahur perlu dilambatkan untuk mengelakkan masalah hipoglisemia.

Boleh rujuk jadual di bawah untuk menu makanan pesakit diabetes ketika berpuasa.

Sumber : Myhealth

menu cadangan untuk pesakit kencing manis

Cadangan hidangan untuk pesakit kencing manis sepanjang bulan puasa

Ubat

Bagi pesakit yang makan ubat sahaja, mungkin tidak banyak masalah kerana kebanyakan ubat kencing manis adalah 2 kali sehari.

Beberapa panduan yang boleh diikut oleh pesakit ialah:

1. Ubat sekali sehari

  • Jika ingin mengambilnya semasa bersahur : Ambil sebelum atau selepas makan sahur mengikut arahan ubat.
  • Jika ingin mengambilnya semasa berbuka :

Bagi arahan sebelum makan : Berbuka puasa dulu dengan tamar dan air, kemudian makan ubat. Ambil makanan utama dalam 20-30 minit selepas itu.

Bagi arahan selepas makan : Makan ubat selepas makanan utama. Dinasihatkan supaya berbuka puasa dulu dengan tamar dan air, kemudian solat maghrib selepas itu barulah makan nasi dan makan ubat.

2. 2 kali sehari sebelum makan

  • Berbuka puasa dengan tamar dan air terlebih dahulu, kemudian makan ubat. Makanan utama boleh diambil selepas setengah jam.
  • Untuk dos kedua, ubat boleh diambil setengah jam sebelum sahur.

3. 2 kali selepas makan

  • Ambil ubat selepas makanan utama selepas berbuka dan selepas makan sahur.

4. 3 kali sehari sebelum makan

  • Selepas berbuka dengan air dan tamar, makan ubat dulu sebelum makanan utama, dos kedua sebelum tidur dan dos ketiga setengah jam sebelum makan sahur.

5. 3 kali selepas makan

  • Makan ubat selepas makanan utama selepas berbuka puasa, sebelum tidur dengan sedikit makanan ringan dan selepas makan sahur.

Insulin semasa berpuasa

Pengambilan insulin boleh menjadi sesuatu yang mengelirukan apabila bulan puasa terutamanya bagi pesakit yang mengambil 3 kali pada waktu siang dan sebenarnya agak sukar untuk menyesuaikannya kerana paras gula mungkin berubah sepanjang hari.

Namun, jadual dibawah boleh dijadikan panduan untuk pesakit kencing manis. Sebaiknya berbincang dengan doktor dan pegawai farmasi di klinik masing-masing untuk lebih jelas.

Sumber : Myhealth 

penyesuaian dos insulin untuk pesakit diabetes bulan puasa

Panduan dos insulin ketika berpuasa

Panduan ketika berpuasa

  • Elakkan makan berlebihan waktu berbuka. Pilih makanan yang rendah lemak, garam dan gula.
  • Cepatkan waktu berbuka dan lewatkan waktu bersahur.
  • Mematuhi jadual pengambilan ubat dan suntikan insulin yang disyorkan oleh doktor.
  • Berusaha mengawal paras gula dalam darah dengan ketat. Sebolehnya setiap pesakit kencing manis mempunyai mesin memeriksa gula sendiri. Dicadangkan 2 jam selepas sahur, jam 1 dan 4 petang.
  • Mengenali tanda kurang gula, terlebih gula dan kekurangan air.
  • Berbuka puasa dengan segera jika terdapat tanda-tanda yang memudaratkan.

Keputusan pesakit kencing manis untuk berpuasa seharusnya dibincangkan dengan doktor terlebih dahulu. Dan keputusan ini sangat bergantung kepada individu. Setiap orang berhak untuk mencuba, namun mesti tahu had masing-masing. Mesti patuh panduan dan syarat, semoga dapat menjalani ibadah puasa dengan selamat dan diberkati Allah.

Jika ada sebarang pertanyaan, atau sekadar nak sembang, boleh hubungi saya Dr Fyda – fydanoh@gmail.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *