Kegagalan Buah Pinggang Kronik Akibat Diabetes

kegagalan buah pinggang kronik

Kegagalan Buah Pinggang Kronik Akibat Diabetes

Buah pinggang adalah antara organ yang terpenting dalam badan manusia. Setiap manusia yang sihat mempunyai 2 buah pinggang berfungsi seperti penapis air yang kita gunakan di dapur. Ia menapis bahan-bahan buangan dan menyimpan bahan yang berguna di dalam badan.

Jika organ ini tidak berfungsi dengan baik, sama ada bocor atau tersekat maka ia menyumbang kepada masalah kesihatan yang serius. Kencing manis dan kegagalan buah pinggang adalah 2 penyakit yang saling berkait rapat. Pada mulanya pesakit mungkin mengalami masalah diabetes nefropati, iaitu terdapat protein dalam air kencing dan masalah ini berlaku dalam 1 daripada 3 orang yang menghidap diabetes. Lama-kelamaan pesakit boleh mengalami kegagalan buah pinggang.

Selain berfungsi sebagai penapis bahan-bahan buangan, buah pinggang juga berfungsi menghasilkan sel darah merah, mengawal tekanan darah dan membantu keseimbangan cecair dan mineral dalam badan.

Darah yang mengalir melalui buah pinggang melalui berjuta-juta penapis kecil yang dipanggil glomeruli. Bahan yang tidak diperlukan oleh badan seperti urea akan ditapis keluar, sementara bahan yang diperlukan seperti protein akan diserap masuk ke dalam salur darah semula.

kegagalan buah pinggang kronik

Apabila organ gagal berfungsi, mesinlah pengganti

Diabetes dan penyakit buah pinggang

Pesakit diabetes memang berisiko untuk mendapat penyakit buah pinggang. Namun, jika pengawalan gula tidak dilakukan dengan baik, risiko ini mungkin akan menjadi lebih cepat. Apabila gula terlalu tinggi dalam darah, saluran-saluran darah akan menjadi mangsa. Saluran darah yang kecil seperti di glomeruli akan terjejas dengan cepat. Keupayaan untuk menapis bahan buangan dengan sempurna akan terganggu.

Pada mulanya mungkin buah pinggang mengalami kebocoran dan sejumlah protein akan turut hilang melalui air kencing. Doktor akan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mengurangkan kehilangan protein melalui air kencing.

Namun kerosakan pada buah pinggang akan tetap berlaku, dan akhirnya fungsi glomeruli untuk menapis akan semakin terjejas. Lama kelamaan penapis ini tidak boleh menapis sama sekali, sehingga tiada lagi air kencing yang dihasilkan. Dan waktu ini dikatakan seseorang itu mengalami kegagalan buah pinggang.

Apabila kegagalan buah pinggang berlaku, bahan-bahan buangan atau toksin akan berkumpul di dalam badan dan akan membahayakan kesihatan pesakit. Jadi 2 pilihan untuk merawat kegagalan buah pinggang ialah:

1. Dialisis

Iaitu rawatan untuk mengeluarkan bahan buangan daripada badan. Terdapat 2 jenis dialisis utama, iaitu hemodialisis yang menggunakan mesin untuk menapis darah yang berfungsi seperti buah pinggang.Yang kedua ialah dialisis peritoneum yang mana menapis cecair dalam abdomen.

2. Pemindahan buah pinggang

Namun, yang menjadi masalah ialah pesakit mungkin terpaksa menunggu giliran yang lama kerana penderma organ yang terhad di negara kita, malah ada yang meninggal dalam tempoh menunggu.

Cara lain diabetes boleh membahayakan buah pinggang

Diabetes juga boleh mengakibatkan kerosakan saraf. Impuls akan dihantar ke otak untuk memberitahu bahawa pundi kencing sudah penuh. Namun, jika impuls ini lambat atau gagal dihantar kerana kerosakan saraf, pundi kencing yang penuh boleh menyebabkan tekanan kepada buah pinggang dan menyebabkan kerosakan.

Selain itu, pundi kencing yang sentiasa penuh boleh menyebabkan jangkitan salur kencing yang boleh merebak ke buah pinggang.

Pesakit kencing manis juga cenderung untuk mendapat tekanan darah tinggi. Tekanan darah tinggi juga turut merosakkan salur darah dalam buah pinggang. Gabungan kedua-dua penyakit ini boleh mempercepatkan kerosakan pada sistem penapisan buah pinggang.

Penyakit senyap

Selalunya pada peringkat awal, penyakit buah pinggang kronik terjadi tanpa sebarang amaran. Jadi, untuk pesakit buah pinggang, doktor akan sentiasa memantau kandungan air kencing pesakit untuk memastikannya bebas daripada protein dan mengukur tekanan darah pesakit.

Jika pesakit mempunyai gejala, mungkin kerosakan buah pinggang sudah mencapai ke tahap yang lebih serius. Gejala-gejalanya mungkin berbeza untuk setiap pesakit.

Kurangkan risiko kerosakan buah pinggang

 

  • Kawal kandungan gula dalam darah merupakan satu-satunya langkah paling penting untuk mengurangkan risiko penyakit buah pinggang.
  • Amalkan pemakanan yang berkhasiat dan mempunyai glisemik indeks yang rendah. Antaranya termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, protein tanpa lemak dan produk tenusu yang rendah lemak atau tanpa lemak. Hadkan pengambilan makanan tinggi lemak tepu, lemak trans natrium dan makanan dengan gula atau garam berlebihan.
  • Bersenam untuk 30 hingga 60 minit, mungkin 3-4 kali dalam seminggu. Bincang dulu dengan doktor senaman yang sesuai dengan anda.
  • Mengambil ubat-ubatan mengikut arahan doktor, terutamanya untuk mereka dalam rawatan kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol.
  • Pastikan tekanan darah tinggi terkawal dan sentiasa dipantau.
  • Elakkan minum alkohol atau merokok. Jika ada, sila berhenti dengan segera.

Seram juga kan penyakit buah pinggang ni? Bayangkan kalau buah pinggang dah rosak, kena rawatan dialisis yang mungkin 3-4 kali seminggu yang mesinnya sangat mahal dan perlu dibuat di hospital ataupun pusat-pusat dialisis. Nak bergerak pun susah.

Berita baiknya, penyakit ini boleh dicegah. Jadi, jika anda masih muda dan sihat, jangan biarkan anda mendapat kencing manis apabila meningkat usia kelak. Ingat, kencing manis bukan penyakit orang tua, tetapi penyakit orang yang tak jaga kesihatan.

Jika ada apa-apa soalan mengenai penyakit kronik, atau saja-saja nak sembang, boleh hubungi saya,

Fyda,

012 621 1883

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *