Kanser Kulit, Ancaman Untuk Yang Berkulit Cerah

kanser kulit muka

Kanser Kulit, Ancaman Untuk Yang Berkulit Cerah

Kulit adalah organ yang paling besar pada pada manusia, iaitu lebih kurang 20,00 kaki persegi. Tambahan pula kulit adalah organ paling luar yang bertindak sebagai pelindung kepada manusia, kulit mudah terdedah kepada pelbagai jenis penyakit, pencemaran, kerosakan akibat persekitaran dan penuaan.

Antara penyakit kulit yang ditakuti oleh barah kulit. Barah kulit ialah ketumbuhan pada kulit yang disebabkan oleh pertumbuhan sel yang tidak normal disebabkan oleh radiasi atau terdedah kepada bahan-bahan yang menyebabkan kanser.

Kanser kulit mempunyai pelbagai jenis mengikut asalnya daripada lapisan kulit yang berlainan. Tiga jenis barah kulit yang utama ialah:

1. Basal sel carcinoma

2. Squamos sel carcinoma

3. Malignant melanoma

kanser kulit muka

Kanser kulit mengikut jenis secara ringkas.

Basal cell carcinoma

kanser kulit muka

Kanser ini adalah jenis kanser yang paling biasa dikalangan manusia yang berasal daripada sel kulit yang paling asas, ataupun lapisan paling bawah.

Secara umumnya, kanser jenis ini pertumbuhannya adalah lambat dan jarang sekali merebak ke organ lain, namun boleh merosakkan kawasan sekitar kulit dan dibawahnya.

Ia boleh wujud dalam bentuk ulser, atau ketumbuhan yang kecil, nampak bersinar dan kadangkala terdapat saluran darah. Apabila ketumbuhan ini pecah, ia boleh membentuk ulser dengan lapisan tepi yang timbul.

Squamos cell carcinoma

punca barah kulit

Kanser ini pula boleh terjadi jika terdapat keradangan ataupun ulser yang berpanjangan pada kulit. Kanser ini dikenali dengan warnanya yang kemerahan pada permukaan kulit dan sedikit bersisik, berbentuk tidak sekata dan sakit apabila disentuh.

Melanoma

punca barah kulit

Melanoma boleh wujud di mana-mana bahagian kulit sama ada kulit normal ataupun tahi lalat hidup yang berukar menjadi kanser. Kanser ini biasanya berwarna gelap atau hitam walaupun ada ynag mungkin berwarna terang dengan permukaan yang tidak sekata.

Faktor risiko untuk mendapat kanser kulit

1. Berkulit cerah

Individu yang mempunyai kulit cerah mempunyai lapisan melanin yang kurang. Jadi, apabila terdedah kepada cahaya matahari, kulit mereka lebih cenderung untuk menyerap sinaran UV yang boleh menyebabkan kanser.

2. Terdedah kepada cahaya matahari secara berlebihan

Terdedah kepada sinaran UV secara berlebihan boleh merosakkan DNA dan menghasilkan sel yang tidak normal. Secara umumnya, badan yang sihat dan berfunsgi dengan baik boleh membaiki sel-sel yang rosak ini, namun apabila sel itu tumbuh secara tidak terkawal, ia akan terus berkembang sebagai sel kanser.

Keadaan ini biasanya dikaitkan dengan faktor pekerjaan yang mana masalah barah kulit lebih tinggi dikalangan petani, nelayan dan pekerja di tapak pembinaan. Risiko ini bertambah jika mereka tidak memakai pelindung sinar UV.

3. Faktor genetik

Faktor genetik seperti penyakit xeroderma pigmentosum iaitu penyakit di mana seseorang tidak dapat memulihkan sel-sel kulit yang rosak akibat terdedah kepada sinaran UV matahari. Sel kulit pesakit ini sangat sensitif dan kerapkali terbakar jika terdedah kepada cahaya matahari. Namun, penyakit ini amat jarang berlaku.

Selain itu, ada juga orang yang menghidap penyakit kulit pra-kanser seperti actinic keratosis yang sering terjadi di bahagian muka kepala dan tangan. Penyakit ini biasanya terjadi kepada mereka yang berkulit cerah yang sering terdedah kepada cahaya matahari. Ia dikenali melalui tompok-tompok coklat, kasar dan bersisik.

4. Banyak tahi lalat

Orang yang mempunyai banyak tahi lalat atau tahi lalat luar biasa yang dipanggil dysplastic naevi juga mempunyai risiko kanser kulit. Biasanya tahi lalat yang timbul dan semakin membesar, bukan semua tahi lalat. Sesetengah tanda lahir juga berisiko untuk menjadi sel kanser.

5. Sejarah kanser kulit atau sejarah keluarga yang mempunyai kanser kulit

Jika anda pernah menghidap kanser kulit, terdapat risiko untuk berulang atau jika anda mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser kulit, risiko untuk mendapatnya juga adalah tinggi.

6. Sistem ketahanan badan yang rendah

Bagi pesakit-pesakit tertentu seperti HIV atau pesakit yang mendapat rawatan selepas pemindahan organ mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk penyakit barah kulit.

7. Jangkitan Human Papilloma Virus

Human Papilloma Virus bukan sahaja boleh menyebabkan kanser serviks, malah turut meningkatkan risiko kanser kulit terutamanya pada bahagian kemaluan lelaki dan wanita.

8.Merokok

Tak perlu hurai panjang-panjang. Bahan kimia yang terdapat dalam rokok bukan sahaja mendedahkan perokok atau orang sekelilingnya kepada kanser kulit, malah pelbagai jenis kanser lagi.

9. Terdedah kepada radiasi dan keracunan arsenik

Risiko akan meningkat sekiranya anda terdedah kepada radiasi yang berlebihan, terutamanya dikalangan pekerja-pekerja radiologi. Sebab itulah pekerja radiologi diberi peruntukan cuti untuk menyahkan radiasi dari badan mereka.

10. Ulser yang kronik

Seseorang yang mengalami masalah ulser kronik, iaitu tidak sembuh selepas beberapa tahun ataupun parut tertentu juga cenderung untuk menjadi kanser kulit.

Bagaimana barah kulit didiagnos

Apabila terdapat tanda-tanda klinikal pada kulit yang disyaki merupakan tanda kanser, sedikit sampel kulit akan dipotong dan dilihat di bawah mikroskop.

Sekiranya anda mengalami sebarang masalah kulit yang mencurigakan, terutamanya bagi yang mempunyai faktor risiko di atas, jangan ragu-ragu untuk mendapatkan rawatan segera.

Rawatan barah kulit

Rawatan barah ini bergantung kepada jenis, lokasi, saiz barah, umur pesakit dan sama ada ini kes baru ataupun kes yang berulang. Kadang-kadang pengurusan ini memerlukan lebih daripada 1 kepakaran termasuk pakar kulit, pakar pembedahan dan onkologi untuk membincangkan kaedah rawatan yang paling sesuai. Namun, pihak kesihatan hanya boleh mencadangkan kaedah rawatan, terserahlah kepada pesakit untuk memilihnya.

Kaedah rawatan kanser kulit adalah seperti berikut:

1. Cryotherapy

Kaedah yang menggunakan cecair nitrogen ini boleh merawat actinic keratosis ataupun kanser kulit yang bersaiz kecil.

2. Curretage dan electrosurgery

Lapisan-lapisan kanser akan dikikis menggunakan pisau dan mana-mana sel kanser yang masih tertinggal akan dimusnahkan dengan probe elektrik.

3. Pembedahan

Basal cell carcinoma dan squamos cell carcinoma sesuai untuk dibedah kerana pertumbuhan sel kanser bertumpu pada 1 tempat sahaja. Mungkin pembedahan perlu dilakukan dalam skala yang lebih besar yang mana turut kulit yang normal untuk memastikan kesemua sel kanser sudah dibuang. Jika masih ada sel yang tertinggal, boleh dirawat dengan dengan radioterapi atau kaedah lain.

Untuk melanoma yang tumbuh dan merebak dengan cepat, sekiranya sudah melibatkan organ lain, pembedahan masih boleh dilakukan namun memerlukan juga kaedah lain seperti kemoterapi.

4. Radioterapi atau kemoterapi

Kaedah ini digunakan apabila pesakit tidak dapat menjalani pembedahan, sel kanser terlalu besar atau sel kanser telah merebak ke organ lain.

Langkah-langkah pencegahan kanser kulit

1. Kurangkan pendedahan kepada pancaran matahari berlebihan, terutamanya individu yang berkulit cerah.

Contohnya memakai krim pelincung matahari, memakai pakaian berlengan panjang dan memakai topi apabila melakukan aktiviti luar rumah.

2. Mengelakkan pendedahan kepada pancaran matahari pada waktu yang mempunyai kadar UV yang tinggi, iaitu dari pukul 9 pagi hingga 3 petang.

3. Berhenti atau elakkan merokok dna menjauhi daripada terdedah kepada asap rokok.

4. Tingkatkan sistem ketahanan badan dengan memakan makanan berkhasiat dan sihat, dan mengambil suplemen.

5. Periksa kulit secara berkala dan segera berjumpa doktor sekiranya terdapat apa-apa perubahan yang mencurigakan, terutamanya mereka yang mempunyai banyak tahi lalat, mempunyai tanda lahir dan berkulit cerah.

Secara kasarnya, kanser kulit mempunyai prognosis yang baik kecuali untuk melanoma. Namun, ia tetaplah penyakit yang harus dielakkan dan tidak patut diambil mudah.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan, atau saja-saja nak sembang, boleh hubungi saya:

Fyda Noh : 012 621 1883

 

Sumber:

MyHealth

Dermatology.org.my

Davidson’s Principle and Practice of Medicine

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *