Bahaya Bauksit Kepada Kesihatan Penduduk

Bahaya Bauksit Kepada Kesihatan Penduduk

Pernah dengar kisah Firaun yang ditelan Laut Merah? Hari ini fenomena itu berlaku di negara kita. Bukan kisah Firaun, tapi kisah ‘sungai merah’. Tapi, Laut Merah yang ada kat Mesir tu, bukanlah airnya berwarna merah, cuma namanya saja begitu. Di Malaysia hari ni, atau lebih tepat di Kuantan, kita boleh saksikan airnya betul-betul berwarna merah gara-gara mineral yang dipanggil bauksit walaupun ada pihak cuba menafikan dengan mengatakan bahawa itu adalah warna sirih.

Fenomena sungai merah ini mendapat bantahan habis-habisan penduduk setempat, namun rasanya aktiviti pelombongan masih akan diteruskan selepas 3 bulan diarah berhenti. Atau ada berita yang lebih terkini?

Apakah bauksit dan apa kegunaannya?

Bauksit adalah sejenis bijih utama untuk menghasilkan aluminium dan bukanlah mineral seperti yang difahami sebelum ini. Bijih bauksit secara semulajadi mengandungi aluminium hidroksida, ferum oksida, titanium oksida dan silika reaktif.

Dari aspek lain pula, bauksit menyebabkan pencemaran, termasuklah geologi kerak bumi, pencemaran sumber air termasuk sungai dan laut serta pelabuhan berdekatan dengan logam-logam berat terutamanya kromim, arsenik dan merkuri. Bahan-bhan lain seperti nikel, zink urut hadir dalam kepekatan yang rendah.

Kegunaan bauksit

Bauksit banyak digunakan dalam industri yang melibatkan alumunium, termasuk:

  • Industri penghasilan seramik
  • Penghasilan jentera mesin dan kenderaan terutamanya badan kapal terbang
  • Industri pembungkusan makanan dalam tin
  • Industri pembinaan bangunan seperti struktur bumbung dan atap.
  • Digunakan dalam bahan kimia untuk menyahkan kotoran berupa minyak, gas nitrogen dan sulfur kerana mampu bertahan suhu rintangan dan pembakaran yang sangat tinggi.

Bahaya bauksit

Walaupun bauksit mempunyai pelbagai kegunaan untuk kemudahan kehidupan manusia, namun bahan ini tidak terlepas daripada menyebabkan bahaya terutamanya dari segi kesihatan.

Kita tinjau satu-satu bahaya kandungan dalam bauksit

1. Aluminium hidroksida

Bahan ini adalah kandungan utama bauksit, antara 35-52% daripada kandungan bijih. Pendedahan yang berlebihan kepada ini boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

Bahan ini dipercayai tidak menyebabkan kanser, namun kesan yang paling ketara ialah masalah sistem pernafasan. Seseorang yang terdedah kepada bahan ini berbulan-bulan akan mengalami pedih hidung, batuk-batuk, kulit mengalami kemerahan, gatal dan menggelupas serta masalah gatal mata.

Beberapa kajian mengaitkan debu merah ini dengan masalah saraf otak kronik seperti mudah berasa bimbang tanpa sebab, masalah pelupa yang boleh melarat kepada nyanyuk dan Parkinson dikalangan orang dewasa.

2. Ferum oksida

Bahan ini hadir dalam kuantiti yang lebih rendah iaitu dalam 15-34%. Bahan ini yang menukar warna tanah dan air kepada kemerahan. Ferum adalah unsur penting dalam hemoglobin yang berfungsi mengangkut oksigen dalam badan manusia.

Sekiranya terdedah dalam dos yang tinggi, seseorang boleh mengalami masalah kegatalan mata atau koroidaitis. Pendedahan ferum melalui sistem pernafasan dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan ferum berkumpul dalam tisu hati dan boleh menjejaskan fungsi hati. Keadaan menjadi lebih teruk kepada mereka yang menghidap talasemia atau hemofilia atau orang yang mengalami masalah hati dan limpa bengkak.

3. Titanium oksida

Bahan ini hanya dalam 3-6% daripada kandunga bijih. Bahan ini turut menyebabkan iritasi pada hidung dan tekak, radang mata dan kegatalan kulit. Meraka yang mengalami eczema, masalah jantung dan hati serta perokok akan mengalami masalah yang lebih serius. Ibu hamil dan menyusu perlu elakkan diri daripada terdedah kepada bahan ini.

Selain itu, Agensi Kebangsaan Untuk Kajian dan Kanser (IARC) mengklasifikasikan bahan ini dalam kumpulan 2B (mungkin penyebab kanser) untuk kanser paru-paru. Namun, Persidangan Amerika bagi Pengamal Industri Kebersihan mengklasifikasikan bahan ini dalam kumpulan 4, iaitu tidak menyebabkan kanser.

4. Silika reaktif

Silika hanyalah 1-8% sahaja daripada kandungan bijih bauksit. Bijih yang bermutu tinggi ialah apabila nisbah aluminium:silika melebihi 10. Bauksit dari Malaysia dan Indonesia mempunyai kualiti yang lebih tinggi berbanding bauksit dari China dan Vietnam dengan kandungan silika yang lebih rendah. Silika sangat berguna dalam industri memproses air minuman dan sisa limbah. Proses osmosis terbalik (reverse osmosis) juga menggunakan silika.

Debu silika daripada lombong bauksit hampir sama dengan silika dari lombong kuari. Dedahan pada kepekatan tinggi boleh menyebabkan sesak nafas, sakit dada, keletihan, pengsan mahupun kematian. Seterusnya masalah ini boleh melarat sehingga menyebabkan masalah seperti bronkitis kronik, silikosis ataupun jangkitan sistem respiratori.

Kajian juga mendapati, bahan ini berpotensi menyebabkan jangkitan batuk kering selain berkait rapat dengan kanser paru-paru.

5. Kromium

Pada tahun 1996, kajia telah dijalankan oleh Jabatan Geologi UKM untuk mengenalpasti beberapa unsur semulajadi di Kuantan selain bauksit. Mereka telah menemui kromium pada kepekatan beratus kali ganda berbanding tanah biasa.

Dari segi kesihatan, kromium heksavalen menjadi fokus utama perbincangan kerana bersifat lebih toksik dan boleh menyebabkan kanser. Pendedahan melalui sistem pernafasan boleh menyebabkan sesak nafas, batuk, nafas berbunyi seperti lelah. Pada kepekatan lebih tinggi, kulit menjadi kemerah-merahan, sakit perut dan muntah-muntah.

Dalam kajian lain, pendedahan dalam jangkamasa panjang menyebabkan kromium berkumpul dalam tisu badan seperti paru-paru, buah pinggang, hati, sum-sum tulang dan salur darah utama. Akibatnya fungsi-fungsi organ ini akan terganggu sehingga boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.

6. Arsenik

Logam berat ini merupakan bahan utama yang hadir secara semulajadi dalam tanah. Ia hadir bersama-sama di dalam bijih timah yang banyak terdapat di negara kita di samping kedudukan geografi yang berdekatan dengan pantai.

Kajian pada tahun 2012 mendapati kandungan semulajadi arsenik di Semenanjung Malaysia adalah 4 kali ganda dari tahap yang dibenarkan. Pendedahan kepada bahan ini sering terjadi melalui bekalan air atau rantaian makanan yang tercemar. Ia boleh terjadi secara semulajadi atau melalui aktiviti pertanian dan sisa industri yang tidak terkawal.

Dedahan secara akut boleh menyebabkan masalah kulit yang menebal dan kering pada tapak tangan dan kaki. Ia diikuti kegagalan buah pinggang, gangguan saraf otak, hati serta sum-sum tulang.

Dedahan secara kronik pula didapati menjejaskan ibu hamil semasa kehamilan dan kelahiran.

Kesimpulan aktiviti pelombongan bauksit

Perlombongan bauksit di Kuantan bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malah yang paling penting tahap kesihatan penduduk. Semua pihak terutamanya pengendali lombong dan kerajaan perlu lebih prihatin ke atas kesan kesihatan yang boleh terjadi daripada aktiviti perlombongan yang tidak terkawal. Nanti penuh pula klinik dan hospital kerana masalah bauksit ni.

Kalau ada apa-apa pertanyaan atau nak sembang-sembang je, boleh hubungi saya, Fyda 012 621 1883

 

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *