Awas Jangkitan MERS-CoV Yang Mungkin Dibawa Jemaah Haji

Awas Jangkitan MERS-CoV Yang Mungkin Dibawa Jemaah Haji

Rombongan jemaah haji pertama sudah tiba di Tanah Air semalam. Apa agaknya yang mereka bawa selain daripada buah tangan; air zam-zam, kurma dan sebagainya?

Bagi orang yang mengikuti perkembangan SARS, mesti tahu apa itu MERS-CoV (Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus).Diberi nama demikian kerana pertama kali ditemui di negara Timur Tengah iaitu Arab Saudi. Jadi, jemaah yang baru pulang ini berisiko untuk turut membawa pulang virus ini.

MERS-CoV ialah virus daripada keluarga coronavirus, juga dikenali sebagai virus seperti SARS, kerana menyebabkan simptom yang sama tetapi virus ini lebih berbahaya. Virus ini ditemui pada tahun 2012 dan telah mengorbankan 480 orang menurut rekod WHO.

Virus ini pertama kali ditemui dalam seorang lelaki dari Arab Saudi yang mengalami simptom seperti dijangkiti SARS pada bulan April 2012 dan kematiannya dikhabarkan pada Jun, 2012.

Beberapa bulan kemudian, seorang lelaki dari Qatar juga mengalami nasib yang sama setelah bercuti di Arab Saudi. Kemudiannya beliau mendapat rawatan di United Kingdom dan telah disahkan mendapat jangkitan daripada MERS-CoV.

MERS-CoV di Malaysia

Tempat yang dilaporkan dijangkiti virus ini ialah

1. Timur Tengah

  • Arab Saudi
  • Iran
  • Mesir
  • Jordan
  • Kuwait
  • Lubnan
  • Oman
  • Qatar
  • Yaman

2. Africa

  • Algeria
  • Tunisia

3. Asia

  • Malaysia
  • Republik China
  • Filipina
  • Republik Korea
  • Thailand

4. Eropah

  • Austria
  • Perancis
  • Greece
  • Jerman
  • Itali
  • Netherlands
  • Turki
  • UK

5. Amerika Utara

  • USA

 

Apakah simptom jangkitan MERS-CoV

Secara umumnya gejala jangkitan MERS-CoV hanyalah seperti virus selsema biasa dan kadang-kadang tidak menunjukkan sebarang simptom lansung,contohnya seorang lelaki di Jordan yang disahkan dijangkiti MERS-CoV tapi langsung tidak menunjukkan sebarang gejala.

Namun, jika anda ada melawat tempat-tempat di atas dan mempunyai simptom berikut, adalah tindakan bijak untuk berkunjung ke klinik dan mendapatkan rawatan selanjutnya.

  • Batuk
  • Berkahak / berhingus
  • Sesak nafas
  • Penat / sakit badan / sendi
  • Demam
  • Sakit dada
  • Cirit-birit ( dalam kes tertentu)
  • Gejala-gejala kerosakan buah pinggang

Laporan awal menunjukkan simptomnya sama seperti simptom SARS tapi SARS tidak menyebabkan kerosakan buah pinggang. Kematian mungkin boleh disebabkan oleh jangkitan paru-paru atau kerosakan buah pinggang.

Siapa yang lebih mudah dapat jangkitan MERS-CoV

 

  • Orang yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, sakit jantung, penyakit buah pinggang, penyakit berkaitan darah dan tekanan darah tinggi
  • Orang yang makan ubat yang boleh menurunkan imun badan iaitu orang yang menerima pemindahan organ.
  • Orang yang mempunyai sistem pertahanan badan yang rendah, contohnya pesakit kanser, warga emas dan kanak-kanak.

Dalam 60 kes yang dilaporkan majoriti adalah lelaki. Namun terlalu awal untuk memastikan jika lelaki lebih mudah dijangkiti.

Bagaimana MERS-CoV menjangkiti manusia dan tersebar dikalangan manusia?

Sehingga kini MERS-CoV masih dalam kajian dan masih banyak yang belum diketahui mengenainya. Pakar berpendapat virus ini berasal daripada kelawar. Namun, yang pasti ia boleh menjangkiti manusia daripada haiwan yang dijangkiti dan produk-produk haiwan yang dijangkito dan belum diproses.

Jangkitan antara manusia kepada manusia lebih rendah berbanding SARS, namun kadar kematian disebabkan oleh MERS-CoV adalah lebih tinggi.

Penyebaran virus ini dikalangan manusia masih samar-samar, jadi WHO juga tidak dapat memberi cara yang jelas untuk mengelakkan virus ini. Namun, pakar mengandaikan virus ini lebih senang tersebar dalam 1 komuniti dan risiko untuk menjangkiti pelawat adalah rendah.

Walaubagaimana pun, jika anda tinggal di kawasan yang terlibat atau bagi kita di Malaysia yang akan menyambut kepulangan ahli keluarga yang mengerjakan haji, tak perlulah terlalu ghairah untuk berpeluk cium dengan mereka, terutamanya yang mempunyai apa-apa simptom jangkitan salur pernafasan.

Garis panduan yang boleh diikuti untuk mengelakkan jangkitan MERS-CoV.

 

  • Elakkan bertemu orang yang dijangkiti atau mempunyai simptom yang dinyatakan di atas, terutamanya orang yang baru balik daripada negara-negara yang terlibat dan ahli keluarga yang tinggal serumah dengan mereka.
  • Mengamalkan amalan membasuh tangan.
  • Makan sayur-sayuran dan buah-buahan yang dibasuh dengan bersih
  • Elakkan makanan yang tidak dimasak atau kurang masak
  • Pastikan air yang diminum telah dimasak
  • Jika anda mempunyai simptom-simptom selsema, cuba elakkan berjumpa dengan orang lain. Bersin atau batuk dengan cara yang betul dan jangan meludah merata-rata. Adalah lebih baik jika anda memakai topeng muka jika terpaksa bertemu orang lain.

Sama-sama kita usaha untuk membendung jangkitan ini. Apa yang dirisaukan bukan sahaja orang yang mungkin membawa balik virus tersebut, namun yang lebih ditakuti sekiranya virus tersebut tersebar dalam komuniti kita seperti yang terjadi di Korea.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *